KUALA LUMPUR: Penggunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) dalam penghasilan dadah kini, menjadi cabaran baharu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani jenayah narkotik di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata NPS yang diproses dan dijual oleh sindiket pengedaran dadah, mempunyai struktur baharu susulan perubahan prinsip kimia.
Katanya, perubahan berkenaan menyebabkan NPS tidak dapat dikesan dan dikenal pasti menggunakan teknik pengecaman dadah yang konvensional.
Bagi membanteras jenayah narkotik yang semakin kompleks itu, beliau berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan kajian serta latihan berkaitan.
“Kerjasama itu membabitkan beberapa aspek berbeza bagi membolehkan objektif dicapai, antaranya membolehkan asal usul bahan narkotik terutama NPS dikesan secara forensik, memahami dos dan kesan ketagihannya.
“Antara lain, mewujudkan sistem maklumat forensik molekul bagi NPS, membolehkan NPS dikesan dan dikenal pasti dengan mudah di lapangan, serta mengesan kehadiran bahan narkotik khususnya NPS dalam sampel air kumbahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan nota syarahan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Syarahan Prof Adjung di UKM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSJN dan UKM juga sedang menjalankan kajian, termasuk membangunkan keupayaan serta proses kerja makmal bagi mengenal pasti struktur kimia NPS dan menggunakan keupayaan pengenalpastian struktur kimia baharu bagi menentukan asal usul NPS yang boleh menambah baik risikan operasi.
“Usahasama ini juga membabitkan pembangunan pangkalan data dan sistem maklumat bagi menyimpan data forensik molekul NPS serta statistik jenayah narkotik bagi urusan analitik data raya, termasuk penerapan kecerdasan buatan (AI).
“Analitik data raya sebegini juga dijangka membolehkan peramalan keberkesanan operasi dan seterusnya merumuskan pendekatan bagi peningkatan kecekapan operasi serta mengenal pasti keperluan JSJN untuk meningkatkan keupayaan risikan operasi,” katanya.
Beliau berharap kerjasama terbabit dapat memberi hala tuju yang jelas kepada PDRM dan JSJN untuk sentiasa berada di hadapan dalam usaha memerangi jenayah narkotik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.