Tumpuan :
Nasional

PDRM, ATM bincang langkah tangani jenayah rentas sempadan dalam mesyuarat JPGK

FOTO: PDRM / Facebook

KUALA LUMPUR: Isu keselamatan negara terutama jenayah rentas sempadan yang sukar dikawal antara dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan (JPGK) Ke-79 di Tawau, Sabah, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman itu turut membincangkan perancangan dan penyelarasan strategi bagi menangani isu berkenaan.

Razarudin berkata, agensi keselamatan negara perlu bekerjasama dalam pelbagai aspek terutama memperkukuhkan keselamatan sempadan daripada ancaman pencerobohan dan jenayah.

Beliau berkata, ia penting memastikan negara kekal aman dan selamat.

“Usaha memperkukuh keselamatan sempadan ini sejajar hala tuju Malaysia Madani yang bertujuan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

“Kita perlu sentiasa bersiap siaga, baik secara fizikal mahupun mental dalam menghadapi sebarang bentuk risiko dan ancaman keselamatan,” katanya berucap pada mesyuarat berkenaan.

FOTO: PDRM / Facebook

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu disambut Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Ia dihadiri Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD), Leftenan Jeneral Tengku Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara, Hamzah Ishak, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datu Ken Anak Leben dan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Hadir sama Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohd Rodhi; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dan Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini