KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia, (PDRM) akan mencadangkan kepada pejabat peguam negara untuk mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang susulan kenyataannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata cadangan pertuduhan dibuat mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tugas polis menyiapkan siasatan, kita akan panjangkan kepada agc dengan cadangan dituduh dibawah akta hasutan dan seksyen 233. tuduh tidak tuduh, itu bergantung kepada penilaian pejabat peguam negara,” katanya.
Tambahnya dalam proses rakaman percakapan siang tadi, Hadi hanya menjawab lima soalan daripada 24 soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat.
Baki 19 lagi soalan, Hadi memaklumkan akan dijawab di mahkamah kelak.
Jelas Ayob, bagi kes-kes melibatkan 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja, kertas siasatan akan disiapkan dalam tempoh seminggu.