Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PBT sedia bantu KPDN pantau harga ketika pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina


Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bersedia membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pematuhan terhadap pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Bagaimanapun, kolaborasi antara PBT dan penguatkuasaan KPDN itu memerlukan perbincangan lebih mendalam, terutamanya membabitkan bidang tugas serta perkara-perkara yang boleh diambil tindakan oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata perkara itu boleh dipertimbangkan sama seperti yang telah dilaksanakan bagi penguatkuasaan kawasan larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

“Kita boleh bincangkan kerana perkara ini membabitkan aspek perundangan, sama ada pihak terlibat ada kuasa untuk mewakilkan PBT untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di pasaraya e-Mart Boulevard, Kuching.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam Sarawak berkata, menerusi kerjasama antara KKM dengan PBT, KKM telah mewakilkan PBT untuk memberikan kompaun kepada individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan merokok.

Namun begitu, menurut beliau, mana-mana perkara berkaitan penguatkuasaan perlu dibincangkan secara menyeluruh bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang pada masa hadapan.

“Maksudnya seperti Kementerian Kesihatan yang telah mewakil kuasakan penguatkuasa PBT untuk mengenakan kompaun kepada individu yang didapati merokok di kawasan larangan merokok.

“Bagaimanapun, semua ini membabitkan perkara perundangan dan sebarang kesilapan boleh mengakibatkan kita berdepan perintah mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk kerjasama agensi penguatkuasaan dengan PBT sentiasa dialu-alukan bagi menjaga kepentingan rakyat.

Terdahulu, Pengarah KPDN Sarawak, Mathew Dominic Barin, berkata bagi tempoh 1 hingga 23 Januari lalu, KPDN Sarawak telah melaksanakan lebih 12 ribu pemeriksaan di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah itu, KPDN telah menghasilkan sebanyak 132 kes serta mengeluarkan sebanyak 35,900 kompaun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini