comscore
Tumpuan :
Nasional

PBT perlu urus perolehan ikut tatacara elak risiko rasuah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mematuhi semua tatacara perolehan yang sedang berkuat kuasa dalam mengurus peruntukan yang disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Dan Pembangunan), Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT, Omran Omar berkata, tindakan itu bagi mencapai objektif peruntukan tersebut, selain mengelak risiko berlaku rasuah di dalam PBT.

“Saya juga menyeru semua PBT agar menjadi PBT yang berintegriti tinggi,” katanya pada Sesi Dialog Antirasuah bertajuk ‘Rasuah dalam kalangan PBT Ibarat Tiada Penamat’, di sini.

Sesi tersebut antara pengisian Seminar Perolehan Bebas Rasuah PBT Malaysia Tahun 2024 yang dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Program sehari itu dihadiri seramai 180 Datuk Bandar, Yang Dipertua dan pegawai PBT bertujuan meningkatkan kesedaran, pembudayaan integriti serta amalan tatakelola baik dalam perolehan PBT dan pengurusannya mengikut pekeliling perbendaharaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perak, Ahmad Sabri Mohamed yang turut menjadi ahli panel sesi dialog berkata, peranan dan tanggungjawab PBT adalah penting dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan secara telus serta berkesan.

Justeru, jelasnya, menjadi tanggungjawab SPRM bagi memastikan PBT bebas daripada sebarang gejala rasuah.

Sesi dialog berkenaan dikendalikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) SPRM, Nazli Rasyid Sulong.

Menurut Nazli, program terbabit menjadi penghubung antara PBT dan SPRM.

“SPRM berharap program ini memberi pemahaman kepada pengurusan PBT tentang tanggungjawab bersama dalam usaha memerangi perlakuan rasuah, salah guna kedudukan, kesalahan yang bertentangan dengan nilai Islam serta fokus utama dalam penyelewengan isu rasuah dan ketirisan yang melibatkan peruntukan dan perolehan projek,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini