Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang perlu mengemukakan senarai penutupan jalan raya disebabkan kerja-kerja pembinaan kepada Jawatankuasa Teknikal bagi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam mesyuarat JKMKJR pertama yang dipengerusikannya hari ini.
“Penyelesaian segera harus diambil untuk mengatasi masalah kesesakan yang berpunca daripada penutupan jalan. (Maka) satu koordinasi akan dilakukan dengan segera bagi (penutupan jalan di) kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain-lain infrastruktur.
“Penutupan jalan ini hendaklah dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian terhadap masalah lalu lintas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Mac lalu, Anthony dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negara ini yang akan disertai pelbagai kementerian untuk melihat kepada langkah yang lebih komprehensif dan menyeluruh.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut mengesyorkan supaya menambah lorong atau laluan kontra terutama pada waktu puncak bagi mengatasi kesesakan.
Katanya, kaedah itu bukan hanya dilaksanakan untuk beberapa jalan ke Putrajaya atau Kuala lumpur, tetapi diperluas ke beberapa kawasan lain yang mengalami kesesakan.
“Kami juga meminta semua PBT antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan kawasan berdekatan untuk memberikan input di dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bagi mengatasi serta mencadang permasalahan (kesesakan ini) kerana mereka turut menyumbangkan kesesakan di Kuala Lumpur kerana penduduk di luar lingkungan Lembah Klang kebanyakannya menggunakan jalan raya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat mencadangkan supaya pengangkutan awam digunakan dengan efisien.
Justeru, syarikat pengangkutan awam disaran memperbanyakkan promosi dengan menawarkan harga rendah selain memperbanyakkan lagi destinasi laluan termasuk laluan khusus untuk bas yang akan dijalankan dengan kerjasama PBT.
“Kita tidak memohon peruntukan tambahan pun bagi menyelesaikan masalah segera ini. Maka Menteri Pengangkutan telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mewujudkan ‘quick wins’ terhadap penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di ibu negara,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada caj kesesakan turut dibincangkan pada mesyuarat terbabit, Ahmad Zahid berkata, isu itu tidak dibincangkan namun akan dibawa pada mesyuarat teknikal JKMKJR yang dipengerusikan oleh Anthony.
Isu caj kesesakan pernah dicadangkan sebelum ini dan ia disifatkan antara langkah terbaik dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di ibu negara.
Caj kesesakan itu telah lama dilaksanakan di bandar luar negara antaranya Singapura; London, United Kingdom; Stockholm, Sweden dan Milan, Itali.