Tumpuan :
Nasional

PBT digesa selenggara sistem perparitan bendung banjir kilat

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara digesa untuk menggadakan usaha menyelenggara sistem perparitan bagi mengelak banjir kilat berlaku ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut meminta PBT supaya memantau dan memastikan pemaju projek pembangunan untuk sentiasa menyelenggara parit, longkang, sistem pembetungan dan kolam takungan serta menjaga kebersihan kawasan pembangunan di bawah kawalan masing-masing.

“Demi kesejahteraan rakyat, tindakan proaktif ini dapat mengurangkan risiko banjir dengan lebih berkesan. Semua PBT digesa untuk memastikan anggota, fasiliti, peralatan dan jentera mereka sentiasa siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), luruan kedua MTL yang dijangka berlaku hingga Rabu ini akan memberi impak di kawasan berisiko tinggi termasuk banjir kilat di bandar.

Justeru, Kor Ming turut mengesyorkan PBT untuk memperbaiki sistem perparitan, longkang dan pembetung yang rosak atau menaik taraf parit yang berisi padu rendah.

“Selain mengenal pasti kawasan parit, longkang, pembetung dan kolam takungan yang berisiko menyebabkan kejadian banjir, PBT turut diminta melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelengaraan parit, longkang serta kolam takungan bagi melancarkan aliran air dengan tindakan seperti membuang kotoran atau longgokan sampah dalam parit dan memotong rumput di sepanjang sistem perparitan yang menyekat laluan air,” katanya.

Dalam kenyataan malam semalam, METMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

METMalaysia sebelum ini dilaporkan berkata, MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 7 November lalu dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Loading...
Terkini