KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam dan melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut jadual.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, budaya mengutamakan kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama perlancongan atau pintu masuk ke negara.
Justeru, katanya penting memastikan tandas awam di negara ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, berfungsi dengan baik dan teratur.
“Sebaik sahaja selesai tugas di pejabat lewat petang tadi (semalam), saya melawat secara spontan ke destinasi popular pelancong di Dataran Merdeka Kuala Lumpur untuk melihat sendiri kebersihan tandas awam.
“Sebelum ini saya telah menerima aduan daripada orang-ramai berkenaan dengan keadaan tandas awam di sini dan mendapati tahap kebersihan tandas awam Dataran Merdeka agak memuaskan dan sistem pencahayaan juga berfungsi dengan baik.
“Bagaimanapun, saya melihat siling tandas awam lelaki rosak, sabun pencuci tangan tidak diisi semula dan ada paip air tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Selain itu, katanya kebersihan tandas awam berkait rapat dengan imej negara khususnya di destinasi utama perlancongan atau pintu masuk ke negara.
“Tandas awam bertaraf ‘BMW’ iaitu ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ juga akan meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap PBT.
“Dalam tinjauan di Dataran Merdeka, saya juga mendapati beberapa masalah yang wajar diperbaiki di sekitar kawasan berkenaan iaitu padang rumput yang ‘botak’ dan kurang sempurna, tempat ruang niaga bawah tanah yang kini sudah berada dalam keadaan usang dan kotak suis elektrik yang tidak ditutup dengan baik serta membahayakan keselamatan pengunjung,” katanya.
Katanya, beliau akan bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
“KPKT akan mencari jalan penyelesaian terbaik agar infrastruktur atau kemudahan awam yang dibina dengan duit rakyat dapat dijaga dan diselenggarakan dengan baik serta sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan.
“Budaya penyelengaraan (Maintenance Culture) wajar dititikberatkan dan dipandang serius oleh semua agensi kerajaan.
“Demi kesejahteraan rakyat, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama menjaga kebersihan tempat awam serta menyokong usaha KPKT membantu negara kita makmur, mampan dan saksama,” katanya.