Tumpuan :
Nasional

PBS lebih holistik, sesuai untuk pembangunan murid – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menggantikan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), supaya ia bersifat lebih holistik serta sesuai dengan keperluan pembangunan murid pada masa hadapan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata masyarakat perlu memahami bahawa pendidikan sentiasa bersifat dinamik serta berevolusi seiring keperluan semasa dan peperiksaan kini bukan lagi menjadi satu-satunya mekanisme untuk menilai pencapaian murid.

“Walaupun penilaian murid secara berterusan dilaksanakan menerusi PBS, ia tidak bermakna pengukuran kognitif dalam peperiksaan dimansuhkan.

“Sebaliknya PBS turut merangkumi komponen Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang bertujuan mengukur keupayaan kognitif murid tahap dua di sekolah rendah iaitu Tahun 4, 5 dan 6 serta pada peringkat menengah rendah iaitu Tingkatan 1 hingga 3,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Selain itu, katannya PBS juga membolehkan penilaian pembangunan murid dapat dilakukan lebih menyeluruh dan bersepadu selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek intelek tetapi juga kokurikulum, emosi, rohani dan sosial.

Pada masa yang sama, beliau berkata usaha penambahbaikan yang dilakukan KPM itu turut mengambil kira kegusaran ibu bapa seperti kekeliruan penggunaan skor Tahap Penguasaan (TP) bagi setiap mata pelajaran UASA.

“Bermula pada sesi akademik tahun ini, laporan pencapaian UASA murid akan diubah dalam bentuk gred dan peratus bagi memudahkan ibu bapa mengukur prestasi penilaian sumatif anak masing-masing dan keputusan UASA juga boleh diakses terus oleh ibu bapa secara dalam talian.

“Bagaimanapun, UASA bukan untuk menilai murid lulus atau gagal, atau membanding-bandingkan pencapaian mereka, sebaliknya ia adalah mekanisme untuk mengetahui tahap pencapaian murid dan asas kepada penambahbaikan pencapaian pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi penggulungan yang sama, Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementeriannya sedang merangka pelan jangka panjang pendidikan tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2035.

“Jika sebelum ini pendidikan dianggap sebagai satu ‘bundle’, kali ini kita perlu ‘unbundle education’ maksudnya, kita akan meneroka keperluannya dengan mengambil pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif untuk menghadapi cabaran dunia akan datang.

“Oleh itu, kita akan melaksanakan pelbagai program pembinaan manusia kerana kita tidak boleh hanya tertumpu kepada kecerdasan buatan (AI) atau pembangunan teknikal semata-mata tetapi kita juga perlu memberi perhatian kepada dimensi lain dalam pendidikan, iaitu pembangunan insan,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini