PUTRAJAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi kewangan antarabangsa perlu direformasi secara meluas supaya badan berkenaan dapat menangani cabaran yang saling berkait di seluruh dunia pada hari ini dengan lebih berkesan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sultan Nazrin bertitah, selepas hampir 80 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, PBB, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masih berfungsi berdasarkan peraturan pemerintahan global yang lapuk, yang dibangunkan ketika itu.
“Ketika persekitaran geopolitik dan ekonomi sudah berubah sejak 1945, dan kita kini hidup dalam dunia multipolar, struktur pemerintahan yang bersejarah dan tidak mewakili ini masih kekal.
“Sudah pasti sudah tiba masanya untuk usaha reformasi institusi global yang ditubuhkan semasa dan sejurus selepas perang itu dilakukan.
“Kita semua berkongsi sebuah planet, hidup di atas tanah dengan sumber daya yang dikongsi bersama, mungkin juga dalam sebuah kampung global.
“Jika krisis global utama yang memberi kesan kepada kita semua seperti perubahan iklim perlu ditangani dengan adil dan berkesan, Selatan Global kini mesti lebih sepenuhnya diintegrasi dalam proses penyelesaian masalah,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Nazrin bertitah, baginda percaya, walau apa saja pendekatan yang diambil dalam konsep pembangunan di mana-mana negara, ia mesti berteraskan kepada beberapa prinsip utama, iaitu kesalinghubungan, pembangunan berpaksikan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesaksamaan serta keadilan.
Dalam prinsip kesalinghubungan, titah baginda, setiap tindakan memberikan kesan yang melangkaui sempadan negara dan masalah yang dihadapi satu negara tidak boleh lagi dilihat secara berasingan.
“Perang yang meletus di satu benua memberi kesan kepada benua lain dan pembakaran bahan api fosil di satu hemisfera akan menyumbang kepada impak iklim di sebelah dunia yang bertentangan.
“Ini bermakna kita mesti mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan yang mengambil kira kesalinghubungan manusia, budaya dan ekosistem, dan dengan itu, pergantungan antara kita,” katanya.
Sultan Nazrin bertitah, dalam prinsip pembangunan berpaksikan rakyat, yang mana pembangunan harus berkait dengan pengembangan keupayaan setiap individu, ia bukan semata-mata mengenai pendapatan tetapi kebebasan yang dimiliki setiap orang untuk mencapai tujuan yang bernilai.
Prinsip tanggungjawab terhadap alam sekitar, titah baginda, mengiktiraf bahawa kesihatan dan kesejahteraan tidak dapat dipisahkan daripada kesihatan planet dan dunia tidak boleh terus dibangunkan dengan mengorbankan generasi akan datang.
“Dalam prinsip kesaksamaan dan keadilan, pembangunan mesti berkisar kepada pencapaian keadilan sosial dan ekonomi, yang mana semua orang, tanpa mengira latar belakang, boleh mengakses peluang dan sumber. Pencapaian martabat manusia harus menjadi objektif kita,” titah baginda.
Mengenai FOI 2024 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu, Sultan Nazrin bertitah, ia pengiktirafan penting bahawa pembangunan itu sendiri, sebagai konsep dan amalan, tidak boleh hanya tetap dan terhenti.
“Ia mesti sentiasa disemak semula, dikemaskini dan diperluas untuk memenuhi keperluan semasa yang sentiasa berubah,” titah baginda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.