Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan Tadahan Air Empangan Air Itam Dan Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam.
Permohonan itu dibuat untuk meningkatkan kapasiti air yang semakin surut di Empangan Air Itam sekaligus mengekalkan bekalan air berterusan kepada pengguna terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K.Pathmanathan dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menulis surat rasmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berhubung perkara berkenaan.
Kata beliau, pihaknya memohon pelaksanaan operasi pembenihan awan pada Mac depan iaitu musim antara monsun untuk menyokong usaha untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Kami telah menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah penting bagi PBAPP untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air berterusan di Air Itam, bagi manfaat kira-kira 30,000 pengguna air termasuk pengguna domestik dan bukan domestik.
“Kami juga telah memaklumkan kepada SPAN bahawa operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun 2023 telah menyumbang kepada jumlah hujan sebanyak 30.5mm di kawasan tadahan Empangan Air Itam dan LRA Air Itam tahun lepas.
“Hujan telah membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya PBAPP sedang menunggu maklum balas SPAN untuk memulakan perbincangan awal berhubung operasi pembenihan awan pada kali ini.
“Oleh yang demikian, kami memohon bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air untuk lima muka sauk yang terlibat,” tambahnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.