JOHOR BAHRU: Sejak diperkenalkan pada April lalu, lebih sejuta rakyat negara ini telah menikmati manfaat pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu bermula secara kecil-kecilan dengan Menu Rahmah, namun mendapat sambutan yang berterusan daripada pihak industri.
Katanya, menerusi Jualan Mega Rahmah pula, ramai golongan B40 dan miskin tegar dapat membeli barangan pada harga yang jauh lebih murah.
“KPDN sudah mengenalpasti hampir satu juta penerima ataupun rakyat sudah mendapat manfaat daripada inisiatif Payung Rahmah sejak April lalu hingga semalam.
“Saya yakin, kita sedang ke arah untuk menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dengan beberapa industri nampaknya terus-menerus memberikan sokongan terhadap inisiatif Payung Rahmah.
“Pelan ini melengkapi inisiatif Payung Rahmah yang dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jualan Rahmah di pusat beli belah di Paradigm Mall di sini, hari ini.