Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh terus selesa dan menjadikan beberapa kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai indikator bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang ditemui di PAU 2024 beranggapan, ahli parti perlu mempunyai mindset dan karakter yang betul untuk bertempur dengan pihak lawan.
“Bagi saya banyak lagi kerja yang perlu kita buat, banyak lagi analisa yang perlu kita laksanakan.
“Saya minta tolonglah kepada semua orang terutamanya kepada ahli UMNO jangan mudah yakin dan juga mudah berbangga dan juga mendabik dada.
“Kita masih berada dari keadaan yang sangat jauh lagi untuk mencapai matlamat,” katanya.
Walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan dan mentadbir negara di peringkat pusat ketika ini, perlu diingatkan beberapa negeri masih ditadbir oleh pembangkang.
Pemimpin dan ahli parti di negeri terbabit, tegasnya perlu mempunyai mindset pembangkang untuk terus berdaya saing dan kembali mengemudi negeri-negeri berkenaan.
Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda untuk memanfaatkan platform media sosial dalam menyebarkan ideologi dan menangkis persepsi serta fitnah yang cuba dimainkan pihak lawan.
“Kita kena ada prinsip, pendekatan kita perlu bermaruah, benda betul kita kata betul.
“Jangan sebar fitnah, tapi kena gandakan dan bagi pemahaman melalui media sosial seperti Tiktok, Facebook, Instagram dan sebagainya.
“Sekarang ni ada kecerdasan buatan (AI) pula, jadi kita perlu berada di barisan hadapan dalam pertempuran ini, tak boleh berada di belakang,” katanya kepada Buletin TV3.
Pun begitu tegasnya, penggunaan dan penyebaran maklumat melalui media sosial oleh setiap ahli perlu disertakan dengan integriti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.