comscore
Tumpuan :
Nasional

PAU 2024: Beri lebih banyak peluang, ruang kepada wanita wakili suara parti

FOTO: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Berikan lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan wanita dalam mewakili suara parti.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ramai dalam kalangan ahli wanita dilihat berpotensi selain berkebolehan menerajui pelbagai bidang.

“Kita dah capai 38.8% wanita yang memegang jawatan sebagai pembuat dasar tak mustahil kita juga sebenanrnya mampu untuk capai sasaran kita dalam sektor politik satu hari nanti andai diberi peluang.

Kepada kepimpinan tertinggi parti bukalah ruang kami ada banyak bakat yang boleh diasah dan diketengahkan.

Latih, ke depankanlah, dan gilaplah kami menjadi permata dalam parti”, katanya.

Datuk Nurul Amal berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pagi tadi.

Jelas beliau, isu perwakilan politik wanita ini sudah lama diperjuangkan iaitu sejak tahun 1960-an lagi namun sehingga kini, sejumlah 30 ahli parlimen wanita sahaja dipilih mewakili parti.

Dalam ucapanya juga, beliau turut menggesa pergerakan itu supaya membuktikan kepada pihak luar bahawa sayap parti itu bukan ditubuhkan sekadar sebagai penyeri.

Sebaliknya, ahli-ahli sayap parti perlu lebih berani mengekspresi dan menonjolkan diri dalam perjuangan parti.

Meksipun tidak perlu terlalu radikal, namun Puteri harus tegas dan bijak berkomunikasi menyatakan pendirian dan pendapat sendiri.

“Saya juga ingin menekankan pemerkasaan akademik dalam kalangan Puteri UMNO supaya ahli-ahli mampu menjadi individu berpengetahuan dan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan idea .

“Ingatlah wanita berpendidikan tinggi bukan untuk menandingi lelaki, tetapi untuk membangunkan generasi. Gerak kerja kita juga perlu selari dan berkoordinasi. Kita perlu duduk bersama dan bincang metodologi terbaik untuk kita bergerak ke depan, dan mencapai keputusan maksimum dalam apa yang dilakukan”,katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini