Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PAU 2023: Sengketa lama perlu dinoktahkan – Loke

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Sengketa yang berlarutan sekian lama perlu dinoktahkan, justeru DAP mahu UMNO tidak mengungkit kisah silam.

Menurut Setiausaha Agungnya Anthony Loke, DAP secara prinsipnya telah mencapai kesepakatan serta persefahaman yang jelas dengan pimpinan utama UMNO untuk bekerjasama sebagai rakan politik baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, desakan Pemuda UMNO yang mahu DAP memohon maaf kepada ahli UMNO atas segala tohmahan yang dilemparkan oleh pemimpin DAP sebelum ini hanya pandangan sayap pemuda itu semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, dilaporkan berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.

Loading...
Terkini