DUNGUN: “Patutlah hati ini gelisah rupanya mereka nak terbabit dalam kemalangan itu,” itu reaksi Salmah Idrus selepas mengetahui anaknya parah manakala bakal menantunya maut dalam kemalangan di Kilometer di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kerteh, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, bakal menantunya Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, 24, yang berasal dari Bukit Kuang Kemaman maut sementara anak perempuannya, Nuralifah Ilyana Azman, 21, parah.
Salmah, 53, berkata dia majlis pertunangan Nuralifah dan Muhammad Alif sepatutnya berlangsung di rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun Jumaat ini.
“Muhammad Alif datang ke rumah kira-kira 12 tengah hari semalam untuk membawa Nuralifah membeli beberapa lagi barangan hantaran pertunangan serta mengambil barangan hantaran yang telah dibeli dan disimpan di rumah Muhammad Alif di Kemaman.
“Selama dua jam berada di rumah, saya dah rasa pelik apabila mendapati Muhammad Alif banyak termenung dan tidak bercakap dan saya ingat itu perkara biasa,” katanya.
Katanya, arwah sudah beberapa kali datang ke rumahnya dan sering berseloroh dan bergurau dengan keluarnya dan sering membawa makanan untuk makan beramai-ramai.
“Biasa dia datang duduk makan minum di luar rumah dan kali ini dia masuk ke melihat di dalam rumah sebelum makan di dapur.
“Tak sangka semua perbuatan peliknya itu rupanya petanda dia akan pergi menghadap ilahi,” katanya.
Salmah berkata, ketika kejadian, Muhammad Alif dalam perjalanan menghantar anaknya itu pulang ke Dungun sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
“Mereka sepatutnya singgah di rumah kakak Nuralifah yang tinggal di Paka untuk menghantar barangan pertunangan mereka yang akan digubah oleh kakaknya itu.
“Sepanjang malam malam itu saya tidak dapat tidur dengan lena dan sungguh terkejut apabila mendapat tahu mereka kemalangan oleh orang awam kira-kira 1 pagi tadi.
“Suami saya masih belum dimaklumkan berhubung kemalangan itu kerana dia masih di laut menangkap ikan dan dijangka pulang petang ini,” katanya.
Katanya, dia dimaklumkan Nuralifah kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
“Saya juga telah siap membeli semua barangan keperluan termasuk menempah pelamin untuk majlis pertunangan itu.
“Kalau saya tengok semua barangan itu saya akan menangis teringatkan kepada Muhammad Alif dan Nuralifah,” katanya.
Salmah berkata, dia berharap Nuralifah cepat sembuh sambil berdoa supaya jenazah Muhammad Alif ditempatkan di sisi orang yang soleh atas sifat kebaikan yang ada pada bakal menantunya itu.