comscore
Tumpuan :
Nasional

Patuh arahan pihak berkuasa susulan amaran ribut petir, hujan lebat – TPM Zahid

FOTO: Zahid Hamidi/ Facebook

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dalam satu hantaran di Facebook, Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkongsi bahawa beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairl Shahril Idrus, mengenai situasi banjir di Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir di Kedah telah meningkat kepada 6,087 orang pagi ini, berbanding 4,425 orang malam tadi.

“Seramai 1,942 keluarga kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah. Situasi di Perlis dan Pulau Pinang pula kekal tidak banyak berubah,” kata Zahid, yang menerima taklimat tersebut selepas menghadiri bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di Ibu Negara pagi tadi.

Sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam, Zahid turut merancang untuk melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober.

Inisiatif tersebut, katanya, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan orang awam dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku.

“Utamakan keselamatan dan lindungi diri serta orang tersayang,” nasihatnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dipetik berkata fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November ini.

Katanya, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas dan rantau negara dijangka akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini