KUALA LUMPUR: Helah pendatang asing tanpa izin (PATI) menyamar sebagai pelancong dan mahu membeli ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang ke negaranya gagal apabila taktik itu dikesan pihak berkuasa dalam Ops Sapu KL Strike Force di Jalan Alor, Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Lelaki berusia 30-an itu mendakwa kononnya baru tiba di negara ini dan mahu membeli cenderahati namun pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati individu berkenaan tiada dokumen perjalanan sah dan bekerja di gerai di kawasan berkenaan.
Sebelum itu, lelaki berkenaan cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di lokasi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menahan seramai 176 PATI dalam operasi itu turut membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula pada 7.30 malam.
Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan 156 lelaki dan 20 wanita dengan antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini serta tinggal melebihi masa.
“Antara ditahan membabitkan seramai 71 warga Bangladesh, Myanmar (60), Indonesia (24), Nepal (16), Pakistan (3), Mesir (1) dan Sudan (1),” katanya di sini, hari ini.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semua warga asing berkenaan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Wan Mohammed Saupee berkata, operasi dijalankan susulan aduan dan rungutan masyarakat berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.
“Kawasan sekitar Jalan Alor adalah lokasi tumpuan pelancong luar serta tempatan (justeru) lambakan warga asing di kawasan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengunjung.
“Operasi dan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan warga asing serta majikan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.