Oleh: Selwam Arjunan
LANGKAWI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 196 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendarat di Pantai Teluk Yu dekat Ayer Hangat, di sini, awal pagi tadi adalah pelarian etnik Rohingya dari Myanmar yang belayar selama 10 hari sebelum terkandas di perairan negara.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, PATI berkenaan terdiri daripada 68 lelaki dewasa, 57 wanita dewasa, 32 kanak-kanak lelaki dan 39 kanak-kanak perempuan.
Katanya Bilik Gerakan IPD Langkawi menerima makluman pada jam 3.25 pagi berhubung sekumpulan warga asing yang telah mendarat di kawasan Pantai Teluk Yu dan kereta peronda diarahkan ke lokasi dalam tempoh lima minit.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat sekumpulan besar warga asing di lokasi dan sebuah bot terdampar di pantai.
“Anggota polis digerakkan ke lokasi dan membuat tangkapan ke atas kesemua warga asing tersebut. Pada masa yang sama, Pasukan Polis Marin juga telah digerakkan untuk mengetatkan kawalan di Teluk Yu dan mengesan kemungkinan wujud baki bot yang menceroboh masuk.
“Kesemua tangkapan adalah dipercayai dari etnik Rohingya yang dipercayai berlepas dengan bot dari Myanmar lebih kurang 10 hari yang lepas.
“Kesemua tangkapan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Langkawi dan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi untuk proses dokumentasi.
“Saringan kesihatan juga telah dijalankan ke atas semua tangkapan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, pihak polis ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang dengan pantas memberikan maklumat mengenai kemasukan warga asing berkenaan.
Beliau turut berharap mereka akan terus bekerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa pada masa hadapan.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang memerhati kawasan perairan negara, susulan maklumat dua lagi bot membawa pelarian Myanmar sedang menuju ke Langkawi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.