Tumpuan :
Nasional

PATI ditahan, 9 pemilik gerai Pasar Besar Seremban disaman

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Jaja di Pasar Besar Seremban, di sini, awal pagi semalam. Foto Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Tindakan peniaga warga tempatan yang didakwa menyewakan atau mengambil pekerja asing tanpa permit sah menjadi antara faktor kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasar Besar Seremban, di sini.

Kehadiran ramai warga asing menjaja di Pasar Besar Seremban di sini, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan peniaga dan pengunjung premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, susulan aduan orang awam itu, pihaknya menjalankan satu pemeriksaan dan menahan 14 warga asing di situ kerana pelbagai kesalahan, awal pagi semalam.

“Dengan kekuatan 16 pegawai, kita melaksanakan Ops Jaja bertempat di Pasar Besar Seremban, jam 5.40 pagi semalam.

“Sebanyak 10 premis termasuk sekitar lokasi diperiksa yang merangkumi gerai sayur, gerai makan serta gerai menjual ayam dan ikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, 38 pekerja warga asing berusia antara 23 dan 40 tahun termasuk pelanggan dikumpulkan bagi tujuan dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan, 14 warga asing yang terdiri daripada tujuh lelaki warga Indonesia, seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Pakistan, empat lelaki Myanmar dan seorang wanita Myanmar melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata, sembilan warga Malaysia iaitu pemilik gerai yang disyaki terbabit diberikan Borang 29 (saman kepada saksi) untuk hadir di Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa JIMNS untuk membantu siasatan.

“Semua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng di Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini