Tumpuan :
Nasional

PATI cuba loloskan diri dari operasi JIM

Pegawai penguatkuasa JIM negeri sedang memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan di tapak pembinaan di daerah Hulu Terengganu, semalam. FOTO: JIM Terengganu

KUALA TERENGGANU: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri gagal dalam operasi Sapu dan Kutip di daerah Hulu Terengganu, semalam.

Dalam operasi di enam tapak pembinaan yang diadakan selama tujuh jam bermula kira-kira jam 9 pagi, seramai 34 warga asing berusia antara 24 dan 54 tahun yang sedang leka bekerja ditahan.

Bagaimanapun, sekumpulan warga asing yang sedang leka bekerja cuba melarikan diri selepas ternampak kelibat sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.

Bagaimanapun, cubaan kumpulan itu untuk meloloskan diri gagal apabila kawasan itu sudah dikepung.

FOTO: JIM Terengganu

Pengarah JIM negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, seramai 14 daripada 34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk masuk ke negara ini secara haram.

Katanya, PATI yang ditahan adalah 12 warga Bangladesh dan masing-masing satu daripada Myanmar dan Pakistan berusia antara 24 dan 54 tahun.

“PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih masa dan Seksyen 6 (1) (c) akta yang sama kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Mohd Yusri berkata, PATI yang ditahan dibawa ke depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi yang diadakan adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi membanteras aktiviti PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini terpelihara.

“Kita memberi amaran untuk terus mengaktifkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan tiada ruang bagi individu yang tidak mematuhi undang-undang untuk tinggal di negara ini secara tidak sah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini