Tumpuan :
Nasional

PATI berniaga secara haram di Jalan Petaling kena tahan

Anggota JIM Kuala Lumpur menyerbu kedai di Jalan Petaling yang dikendali pendatang asing. Foto NSTP.

KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (Pati) jadi ‘majikan’ dikesan semakin berleluasa di kawasan ‘syurga’ barang tiruan, Jalan Petaling, di sini dan dipercayai berniaga atas lesen ‘ali baba’.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff ketika operasi penguatkuasaan oleh pasukan KL Strike Force yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, seramai 77 warga asing diperiksa dan 33 individu disyaki Pati ditahan, manakala empat warga tempatan dikenakan saman.

“Warga asing ini sering bersilih ganti, ada yang kerja sepenuh masa… ada juga secara sambilan dan ada juga yang memiliki perniagaan atas lesen ‘ali baba’.

“Kami (JIM) akan salurkan maklumat pemilik gerai yang memegang lesen kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan selanjutnya.

“Ini kerana di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), warga asing tidak dibenarkan menjaja,” katanya pada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi yang bermula 6 petang tadi.

Wan Mohammed Saupee berkata, kehadiran warga asing yang berniaga secara haram di kawasan itu menjejaskan pendapatan peniaga tempatan yang memegang lesen sah.

Menurutnya lagi, antara yang ditahan adalah 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, Pakistan (2), Nepal (1), dan Mauritius (1), malah mereka didapati memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah, tetapi tidak bekerja di lokasi atau bersama majikan yang didaftarkan.

“Kebanyakannya ada pas bekerja dalam sektor pembinaan, pembersihan dan sektor lain. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Loading...
Terkini