comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan SAR khas di tempat berisiko tinggi perlu ditubuhkan – Agong

FOTO: Istana Negara/Facebook

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyuarakan keperluan untuk menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dilatih khas untuk operasi di tempat berisiko tinggi dan ekstrim seperti Gunung Everest.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, pasukan khas berkenaan boleh diatur gerak dengan segera sekiranya ada keperluan.

“Seri Paduka Baginda turut berpandangan negara juga perlu mempunyai pakar perubatan berkaitan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian mempunyai pasukan perubatan sendiri.

“Tugas pasukan perubatan itu penting untuk memeriksa dan memastikan tahap kesihatan para pendaki setiap hari serta memberi rawatan kecemasan kepada pendaki.

“Seri Paduka Baginda menyeru semua pihak dan jabatan yang berkaitan agar menyediakan satu garis panduan dalam aspek keselamatan sukan mendaki,” katanya, hari ini.

Istana Negara memaklumkan perkara itu susulan pemergian pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest, Jumaat lalu.

Seri Paduka berdua juga mendoakan usaha SAR pendaki orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim dipermudahkan dan ditemui dalam keadaan selamat.

Loading...
Terkini