PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu keselamatan membabitkan kenderaan berat di negara ini.
Menterinya, Anthony Loke memaklumkan, pasukan itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
“Saya telah tugaskan KSU untuk mempengerusikan pasukan khas yang bukan sekadar untuk mengkaji dan menilai apa yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk memulakan pelaksanaan segera bagi apa yang boleh dilaksanakan.
“Apa dasar yang boleh dibincangkan dan dilaksanakan dengan segera. Pasukan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis amanat tahun baharu 2025 di sini hari ini.
Pada 23 Disember lepas, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta, dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar lori treler yang tercabut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.