Tumpuan :
Nasional

Pasukan petugas ditubuh elak catuan elektrik di Sabah

Sidang media Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood (dua dari kanan) di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (Load Despatch Centre), Penampang, hari ini. – Foto NSTP/Rafiqah Dahali

PENAMPANG: Pasukan petugas bakal ditubuhkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam usaha untuk mengelakkan catuan elektrik dilaksanakan di Sabah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood, pasukan itu dijangka ditubuh selepas satu mesyuarat yang dijadualkan esok.

Beliau berkata pasukan itu dianggotai pihaknya bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), PETRONAS dan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) berkaitan.

Katanya, ia akan memantau operasi dan permintaan bekalan serta penyeimbangan bagi memastikan bekalan rizab margin selamat untuk pengguna.

“Jadi ia (penubuhan pasukan petugas) menjadi lebih mudah untuk pihak kami buat koordinasi. Sebagai contoh, sebahagian jawatankuasa memerlukan penyelenggaraan, isu bekalan api dan sebagainya, kita boleh berbincang.

“Ia juga mengelakkan pihak kami melakukan catuan elektrik atau sebarang gangguan. Kami mahu bekalan sentiasa di tahap hijau (tahap sihat) sehingga situasi ini berakhir, kemudian barulah kita akan bubarkan pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang dilakukan bertempat di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (Load Despatch Centre), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Industri Operasi ECoS, Jefrey Nuri dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata catuan bekalan elektrik membabitkan beberapa daerah di negeri ini akan dilaksanakan sehingga Julai pada tahun ini.

Langkah itu terpaksa diambil SESB bagi mengawal permintaan penggunaan elektrik melebihi had dan sistem grid Sabah.

Mengulas lanjut, Abdul Razib berkata pihaknya juga mengambil langkah untuk memberi insentif dan nilai ekonomi kepada pengguna bagi mengurangkan penggunaan elektrik ketika waktu kemuncaknya.

“Waktu kemuncak (penggunaan elektrik harian) sekitar jam 11 pagi hingga tiga petang dan tujuh hingga sembilan malam. Jika kita memberi insentif untuk mengurangkan bebanan, jadi kita boleh mengurangkan risiko catuan elektrik.”Saya pasti SESB mempunyai skim seperti jika pengguna mempunyai penjana kuasa akan memperoleh skim pampasan dan sebagainya, ” katanya.

Loading...
Terkini