HULU SELANGOR: Pasukan penyelamat Tragedi Batang Kali menerima penghargaan daripada keluarga mangsa malam ini.
Majlis yang dihadiri wakil daripada 10 agensi penyelamat dan keluarga mangsa itu adalah bagi menghargai sumbangan penyelamat yang terbabit dalam misi mencari mangsa tragedi berkenaan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata operasi mencari dan menyelamat itu adalah sesuatu yang sukar, kerana membabitkan tragedi yang besar.
“Kita sendiri dapat lihat betapa mereka ini tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam mencari mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh itu.
“Jadi saya rasa ini adalah satu peluang untuk kita berikan penghargaan kepada mereka yang berkampung selama sembilan hari di kawasan tragedi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan anggota penyelamat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, malam ini.
Terdahulu, Dr Sathia menyampaikan plak dan sumbangan bernilai RM2,000 kepada agensi terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata pihaknya amat terharu menerima penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga.
“Ini adalah tanggungjawab kami sebagai anggota penyelamat, pengalaman ini tidak akan kami lupakan.
“Kami juga sudah mencuba sedaya upaya bagi menyelamatkan mangsa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut hadir hari ini,” katanya.