Tumpuan :
Nasional

Pasukan penyelamat hantar 38 calon SPM ke sekolah

Anggota bomba membantu menghantar seorang calon SPM ke sekolahnya di Kapit hari ini. – Foto: Ihsan JBPM

KUCHING: Kenaikan paras air di tebing Sungai Batang Rajang memaksa beberapa sekolah meminta bantuan pasukan penyelamat untuk menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke pusat peperiksaan hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kwong Hua di Sibu, yang terputus hubungan apabila jalan raya ke pusat peperiksaan sekolah itu dinaiki air.

Susulan itu, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan untuk menghantar 38 calon SPM dan enam pengawas peperiksaan ke sekolah berkenaan pagi ini.

Mereka dibawa menggunakan trak APM dan pikap ATM, diiringi anggota polis bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan calon tidak terlepas peperiksaan.

Di Kapit, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menghantar seorang calon SPM dari Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit 2 ke pusat peperiksaan, selepas jalan keluar dari rumah panjangnya di Sungai Sibau, Jalan Bukit Goram, ditenggelami air banjir setinggi paras pinggang.

Sementara itu, di Kanowit, bomba turut dipanggil untuk menghantar seorang calon SPM dari Rumah Panjang Joseph, Rantau Kemiding ke SMK Kanowit.

Selain itu, bomba juga membantu dua penjawat awam dari rumah panjang tersebut untuk ke pejabat mereka, kerana laluan sepanjang 200 meter dari rumah panjang itu turut terendam air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini