comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan MALBATT diarah tidak laksana operasi, kekal di penempatan

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanah Merah di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat hari ini, pasukan itu perlu kekal di penempatan masing-masing mengambil kira keselamatan petugas di sana.

“Jika berlaku serangan dari segi ‘force protection measure’ yang ditetapkan, kalau untuk pertahanan diri, maka memang boleh untuk kita membalas tembakan dan sebagainya.

“Tetapi kalau untuk kita lakukan serangan ofensif, maka itu tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin tahu adakah anggota MALBATT dibenarkan membuat serangan tembakan balas sekiranya kedudukan mereka diserang oleh tentera Israel.

Selain itu, Mohamed Khaled tidak menolak hakikat bahawa ancaman rejim zionis di sana semakin meningkat dan semua perkara yang dilalui adalah dibawah kawalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Katanya, UNIFIL telah meletakkan garis panduan antaranya semua ancaman dan cabaran yang dihadapi tertakluk kepada tindakan dibawah langkah perlindungan yang telah disediakan.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal, beliau memaklumkan, keadaan semasa anggota dan pasukan MALBATT 850-11 Malaysia di Lubnan masih dalam keadaan terkawal berdasarkan laporan yang diterma.

“Tahap keselamatan semasa pasukan MALBATT 850-11 adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang antara Hizbullah dan Israel.

“Kesemua pasukan di bawah UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini