KUALA LUMPUR: Pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan akan ditukarkan secara berperingkat dari 7 hingga 19 November ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerima pemakluman Force Commander (FC) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) yang menetapkan tarikh pertukaran kesemua pasukan UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11.
“Penghantaran pasukan MALBATT 850-12 secara berperingkat bermula dari 6 November hingga 18 November ini, manakala penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat bermula dari 7 hingga 19 November ini.
“Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan ditetapkan Pasukan UNIFIL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada pasukan MALBATT 850-12.
“Sekalung penghargaan buat pasukan MALBATT 850-11 yang sudah menggalas tugas dengan cemerlang sepanjang berada di kawasan tanggungjawab.
“Semoga pasukan MALBATT 850-12 dapat terus melaksanakan tugas dengan cemerlang sebagaimana pasukan MALBATT 850-11 sebelum ini.
“Doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia mengiringi mereka dalam melaksanakan amanah diberikan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.