Kuala Terengganu: Satu pasukan khas ditubuhkan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (JLMWT) bagi menjalankan siasatan terperinci insiden feri yang terbakar ketika dalam perjalanan dari Pulau Redang ke jeti Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Kenyataan JLMWT memaklumkan, kebakaran feri penumpang yang membawa 85 penumpang termasuk empat kru itu
dipercayai bermula di dalam bilik enjin.
Katanya kru kapal mengambil tindakan pantas memindahkan semua penumpang ke bot lain yang datang untuk menyelamatkan sebelum api merebak ke seluruh feri.
“Semua penumpang dan kru feri berjaya diturunkan ke Jeti Pulau Bidong dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini berlaku sebelum dibawa ke Jeti TTI, Kuala Terengganu menggunakan feri yang lain.
“Tindakan pemantauan dibuat oleh JLMWT dengan menggerakkan aset jabatan iaitu kapal MV Akturus ke tempat kejadian sebagai siap sedia untuk respon kepada tumpahan minyak serta pencemaran alam daripada kemalangan ini.
“Laporan dan pemakluman kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sudah dibuat,” katanya.
JLMWT turut membuat hebahan kepada komuniti perkapalan bagi menjamin keselamatan pelayaran seperti pengeluaran Notis Kepada Pelaut (NTM) dan penandaan ‘Virtual Wreck’ untuk dipaparkan secara maya melalui ‘Automatic Identification System’ (AIS).
Katanya, feri berkenaan sudah tenggelam sepenuhnya di lokasi kejadian dan Jabatan Laut menyeru orang awam agar tidak panik dan tidak menyebarkan berita yang tidak benar.