comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tolak Syor Apung Harga Telur

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menolak syor supaya harga telur ayam diapungkan walaupun berlaku kekurangan lebih 96 juta biji telur sebulan untuk kegunaan domestik ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat turut tidak menyokong syor mengimport bekalan itu bagi menjaga industri pengeluaran tempatan.

“Jika harga telur diapungkan, harga telur akan melonjak 12 sen sebiji. Justeru pasukan khas tidak memperakukan harga telur diapungkan walaupun pengapungan harga adalah jalan keluar kekal mengikut pandangan pengeluar di ladang.

“Kita sama sekali tidak melihat cadangan mengimport telur sebagai penyelesaian kepada masalah. Kita tinjau kedudukan bekalan telur di beberapa negara jiran dan kita dapati harga telur negara kita paling rendah, ini termasuk harga runcit telur kita lebih rendah berbanding di Thailand dan jauh lebih rendah daripada Kemboja, Indonesia dan sebagainya.

“Jadi tak mungkin dapat beli telur mahal di negara jiran dan jual murah di sini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas berkenaan kali ke-21 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengesahkan bekalan telur pada masa ini berkurangan lebih rendah daripada kebiasaan dengan pengeluaran telur hanya 871.9 juta biji sebulan berbanding keperluan 968.8 juta biji sebulan.

Berikutan kekurangan itu, katanya, bekalan telur di pasaran bagi gred A, B dan C yang dikenakan harga kawalan turut menerima tempias.

“Pasukan khas ambil maklum kos pengeluaran sebiji telur adalah 51 sen di peringkat ladang, sementara harga maksimum sebiji telur gred A adalah 41 sen, gred B (39 sen) dan gred C (37 sen). Subsidi 8 sen sebiji diberikan namun pendapatan pengeluar adalah 2 sen lebih rendah daripada kos pengeluaran. Ini menjadikan pengeluaran telur bergred kawalan kurang menarik penternak.

“Ada penternak bertindak menyembelih ayam telur yang mencapai usia 80 hingga 85 hari yang masih produktif (boleh bertelur) bagi menjimatkan kos kerana pengeluaran telur dan harga jualan lebih rendah daripada kos pengeluaran. Penggantian ayam yang disembelih itu agak perlahan dan menyebabkan bekalan seterusnya rendah dan merosot,” katanya.

Bagi menangani isu itu, beliau berkata, pasukan khas tersebut meneliti dua opsyen iaitu meningkatkan lagi subsidi telur bergred sebanyak 2 sen yang memberi implikasi kewangan sejumlah RM20 juta sebulan.

Turut diteliti, cadangan menaikkan harga siling telur sebanyak 2 sen dalam usaha menutup jurang perbezaan kos pengeluaran sebenar, harga maksimum jualan dan pemberian subsidi ketika ini.

“Ini kita putuskan di pasukan khas tetapi belum muktamad disebabkan situasi Parlimen bubar dan sedikit berbeza dengan keputusan Jemaah Menteri sebelum ini. Kita perlu rujuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana mempunyai implikasi kewangan dan mempunyai tatacara tertentu. Saya dah rujuk kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa mesyuarat tadi.

“Kita cadang pengeluar tidak ambil tindakan menyembelih ayam telur pada umur dianggap awal walaupun kita faham ia adalah untuk kurangkan kos mereka. Kita juga mahu pihak industri mengemukakan syor yang lain supaya bekalan dapat ditingkatkan,” katanya.

Loading...
Terkini