
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin COVID-19.
Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kertas putih ini akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang meneliti secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin COVID-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.,”katanya.
Sehubungan itu, katanya, bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin COVID-19 di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan.
Pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang.