Tumpuan :
Nasional

Pasukan kedua SMART berlepas ke Turkiye malam ini

Pasukan SMART Malaysia . – FOTO : ANWAR IBRAHIM / FACEBOOK

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pasukan elit Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kedua bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan berlepas ke Turkiye pada malam ini, susulan tragedi gempa bumi di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka terdiri daripada 70 anggota iaitu masing-masing 20 anggota NADMA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ini kerana pasukan pertama dilihat sangat berkesan dan pihak Turkiye berasa selesa dan memohon kalau kita tambah (pasukan). Bezanya penerbangan diuruskan oleh pihak Turkiye sendiri melalui Turkish Airlines. Ini mengurangkan beban tanggungan kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Malaysia telah menghantar pasukan pertama SMART pada malam Isnin lalu terdiri daripada 70 anggota ke Turkiye dan menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang sampai di negara itu bagi membantu kerajaan Turkiye untuk misi dan menyelamat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kementerian Pertahanan telah menyediakan pasukan doktor dan paramedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bersedia untuk digerakkan ke Turkiye antara lain bagi membina hospital medan yang boleh disiapkan dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, kerajaan masih menunggu pengesahan sama ada keperluan di Turkiye untuk bantuan berkenaan.

Sementara itu, menurut Anwar, kerajaan berdepan kekangan untuk menghantar pasukan SMART ke Syria.

“Ia lebih rumit di Syria kerana masalah penerbangan dan kos yang agak tinggi untuk kita,” katanya.

Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.

Menurut laporan media, setakat semalam, tragedi itu telah meragut lebih 5,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

Loading...
Terkini