SUNGAI BESAR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sudah melaksanakan bancian sebanyak 83.4 peratus daripada 67,727 kediaman dan 2,071 pertubuhan yang berpotensi menjalankan sektor pertanian menerusi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Selangor.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 56,197 kediaman iaitu 83 peratus dan 1,659 pertubuhan (80.1 peratus) sudah dilawati.
Menurutnya, pencapaian tertinggi disumbangkan daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat.
“Perkara ini diperolehi dengan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak terutamanya pengusaha dan agensi tempatan.
“Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan seperti memberi penerangan kepada masyarakat, sesi ‘engagement’ dengan pemimpin dan agensi tempatan serta meneruskan pengumpulan data pertanian terperinci.
“Ini bagi memastikan tiada pengusaha yang tertinggal dalam liputan Banci Pertanian 2024,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Uzir meminta pengusaha dan pertubuhan yang terbabit dalam aktiviti pertanian dari semua peringkat supaya memberi maklumat yang tepat dan lengkap kepada petugas banci.
“Dapatan ini dapat menyediakan statistik pertanian ‘real time’ komprehensif dan berguna kepada semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut tempoh banci yang masih lagi berbaki, beliau berkata, tempoh itu signifikan untuk melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan tangkapan & akuakuktur dan perhutanan & pembalakan.
Terdahulu, beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd (Sungai Nipah Farm) di Simpang Lima dan kebun kelapa Matag di Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam di sini, baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.