comscore
Tumpuan :
Nasional

Pastikan batik yang dipakai penjawat awam adalah batik Malaysia – CUEPACS 

Foto hiasan / NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik arahan pemakaian pakaian batik Malaysia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di peringkat Persekutuan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat memberitahu, ia bukan sahaja dapat membantu menyokong industri batik Malaysia malah mampu memastikan ia kekal sebagai warisan serta lambang identiti negara.

“Perkara tersebut adalah wajar kerana ia mempunyai maksud yang tersirat iaitu untuk meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan serta lambang identiti negara. Apatah lagi majoriti penjawat awam sebenarnya sudah terbiasa dan menjadi amalan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis sebelum ini.”

“Galakan pemakaian pakaian batik pada setiap hari Khamis sebenarnya telah lama dilaksanakan perkhidmatan awam dan kebanyakan penjawat awam tidak mempunyai masalah mengenainya.”

“CUEPACS menyokong langkah ini dan berharap penjawat awam menyambut baik langkah ini dengan tidak menjadikan ia suatu perkara yang sulit.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Bagaimanapun, katanya, garis panduan mengenai ciri-ciri batik Malaysia perlu dikeluarkan bagi memastikan pemilihan pakaian batik dilakukan secara betul.

“Di pasaran ketika ini terlalu banyak pakaian batik dan mungkin boleh mengelirukan pembeli. Pemakaian pakaian batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam perlu diberi perhatian bagi memastikan batik yang dipakai merupakan batik Malaysia.”

“Jika tidak, hasrat untuk menyokong industri batik Malaysia tidak akan tercapai.”

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penjawat awam kini dibenarkan memakai pakaian batik pada setiap hari waktu bekerja dan tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian pakaian bekerja untuk penjawat awam dengan realiti iklim tempatan dan keperluan kecekapan tenaga di premis kerajaan.

Artikel berkaitan : Penjawat awam diwajibkan pakai batik Malaysia setiap Khamis

Loading...
Terkini