Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Hamdi Fahmi Mohd Zaki
CYBERJAYA: Program Pasport Keselamatan Kurier memainkan peranan penting dalam memastikan pengendalian barang yang selamat dalam industri kurier di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, program itu juga dapat memberikan kemahiran yang diperlukan kepada pekerja industri kurier untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Pada hari ini, kita juga akan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Forum Pos / Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan kerjasama MIROS dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk Program Pasport Keselamatan Kurier.
“MoU ini bagi memastikan pengendalian barang yang selamat dan memberikan kemahiran yang diperlukan kepada pekerja-pekerja industri untuk melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pemain industri untuk menyertai program berkenaan bagi mempromosikan budaya keselamatan untuk melindungi pekerja dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Tambah beliau, dengan adanya program berkenaan, ia dapat membantu pelanggan membuat pilihan yang lebih bijak.
Selain itu, pihaknya turut menjangkan Pasport Keselamatan Kurier akan membantu sektor berkenaan membuat kawalan kendiri terutama untuk menjamin keselamatan pekerja mereka.