JOHOR BAHRU: Pasaran pelancongan ASEAN terus menunjukkan pemulihan daripada cabaran pandemik COVID-19 sekali gus menjadi antara paling dinamik di dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, situasi itu didorong oleh permintaan yang kukuh, ketersambungan penerbangan dan pemulihan pasaran utama Asia.
Beliau berkata, rantau ini berjaya menyambut lebih 100 juta pelancong pada 2023, iaitu mencapai 70 peratus paras prapandemik, manakala menjelang 2024 sebelum ini pula, Asia Tenggara dijangka menerima lebih 130 juta pelancong yang menandakan pemulihan sepenuhnya.
“Kejayaan ini mencerminkan daya tahan dan keyakinan ASEAN dalam memacu pelancongan ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Pelancongan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan delegasi pelancongan ASEAN.
Fadillah berkata, menurut peneraju teknologi pengembaraan Amadeus, pertumbuhan di Asia pada tahun ini akan terus dipacu oleh dasar visa yang fleksibel, tambahan laluan penerbangan dan peningkatan pilihan pelancongan mewah.
Dalam tempoh 15 tahun akan datang, beliau berkata, Asia dijangka menyumbang 35 peratus daripada perbelanjaan pelancongan santai global, dan 50 peratus daripada pertumbuhan penumpang penerbangan.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menekankan kepentingan merapatkan jurang infrastruktur digital antara negara anggota ASEAN bagi menjadikan rantau ini destinasi pilihan tunggal dan hab inovasi.
Beliau berkata, pelan seperti Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan Rancangan Induk Digital ASEAN 2025 adalah pemangkin besar kepada integrasi serantau.
“Dengan ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat tiga kali ganda daripada AS$300 bilion kepada hampir AS$1 trilion menjelang 2030, penerapan teknologi digital yang lebih meluas dan rangka kerja yang selaras boleh menggandakan nilai menjadi lebih AS$2 trilion kepada ekonomi digital ASEAN.
“Ia sekali gus memberi manfaat kepada semua sektor utama di rantau ini, termasuk pelancongan dan pengembaraan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seperti pembayaran rentas sempadan, keselamatan siber, kemahiran digital, dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), juga dijangka memberi manfaat besar kepada pelancongan serta sektor lain.
Dalam usaha menuju era pascapandemik, Fadillah menegaskan, pelancongan ASEAN perlu beralih kepada model perniagaan mampan dan berkualiti tinggi.
“ASEAN berpotensi memimpin usaha global dalam pelancongan inovatif seperti pelancongan berasaskan komuniti, regeneratif dan ekopelancongan.
“Ini bukan saja memberi manfaat kepada komuniti tempatan, malah mengekalkan keaslian budaya serta melindungi alam sekitar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.