Tumpuan :
Nasional

Pasar sesak orang ramai buat persiapan akhir

Foto NSTP – Orang ramai terutama umat Islam membeli pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri ketika tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung hari ini.

KOTA BHARU: Suasana pasar basah meriah dengan orang ramai yang mula sibuk membeli barangan mentah untuk persiapan akhir menjelang Aidilfitri hujung minggu ini.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong serta beberapa beberapa pasar besar di sekitar Kota Bharu mendapati orang ramai memilih untuk membuat persiapan awal pada tahun ini bagi mengelakkan kelam kabut di saat akhir kerana bimbang berlaku hari raya ‘terkejut’ sebagaimana tahun lalu.

Antara gerai-gerai yang dikerumuni orang ramai adalah gerai sayur, ikan, ayam, dan daging.

Seorang pengunjung, Mohd Shafiq Rosli, 26, berkata, dia yang tinggal di Tendong, Pasir Mas memilih RTC Tunjong disebabkan tidak jauh daripada rumahnya untuk mendapatkan barang keperluan hari raya yang diperlukan seperti membeli seperti ikan, daging, ayam, dan sayur.

“Bagaimanapun ada juga beberapa barang yang mengalami kenaikan harga, namun saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membelinya untuk dimasak kepada tetamu yang datang ke rumah berhari raya.

“Walaupun harga barang naik, tetapi ia tidaklah membebankan sangat kerana tidak mengalami kenaikan yang melampau dan masih boleh dibeli,” katanya ketika ditemui di RTC Tunjong, di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Siti Mashitah Kamaruzaman, 31, berkata, keadaan di pasar sesak dengan semua orang sibuk membuat persiapan awal untuk membeli barang keperluan kerana tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri belum diputuskan samada Jumaat atau Sabtu.

“Saya memilih untuk membuat persiapan awal membeli keperluan barangan basah kerana tidak mahu kelam kabut disaat akhir.

“Harga barang sedikit mahal jika dibandingkan sebelum ini, namun saya tidak berkira untuk membelinya memandangkan Hari Raya Aidilfitri disambut setahun sekali selain meraikan mahu tetamu dan keluarga yang pulang dari jauh,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Hamidah Ibrahim, 40, berkata, orang ramai mula sibuk membuat persiapan dan membeli barang keperluan sejak semalam berbanding tahun lalu di mana suasana agak meriah apabila persiapan dilakukan lebih awal iaitu minggu kedua Ramadan.

“Sebelum ini hasil jualan kurang berbanding tahun lalu kerana orang ramai memilih untuk berjimat cermat selain mengalami kenaikan harga.

“Bagaimanapun Alhamdulillah, sejak semalam jualan semakin rancak meskipun ada di antara barangan mengalami kenaikan harga, namun pengunjung tetap juga membeli meskipun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Loading...
Terkini