KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 267.2, berhampiran susur keluar Jabor dekat Kemaman, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang semalam dikatakan sempat bercuti selama dua hari di Pulau Perhentian, Besut.
Adik kepada Allahyarham Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, Siti Saharah, 29, berkata, kakak iparnya, arwah Zahidah Hanisah Mohamad, 35, sudah lama berhasrat untuk pergi bercuti di Pulau Perhentian.
Hasratnya itu direalisasikan ketika cuti persekolahan pada 29 Mei lalu.
Siti Saharah anak ke-10 daripada 12 beradik berkata, arwah kakak ipar sangat teringin untuk pergi ke rumahnya di pulau berkenaan sambil bercuti.
“Saya tinggal di Pulau Perhentian selepas berkahwin kira-kira 10 tahun lalu dan menetap di pulau ini memandangkan suami orang sini (Pulau Perhentian).”Kakak (arwah) sudah lama menyatakan keinginannya untuk bercuti di pulau tetapi tidak berkesempatan.
“Saya bersyukur sangat hasrat arwah tertunai sebelum dia bersama abang (Mohd Riduan) yang juga anak ke enamdalam keluarga pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ditemui selepas upacara pengkebumian arwah abang dan kakak ipar serta anak saudara di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, di sini, jam 7 malam, hari ini.
Menurut Siti Saharah, arwah kakak ipar tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau sejak berkahwin dan sangat teruja apabila berpeluang berbuat demikian bersama abang dan dua anaknya pada akhir Mei lalu.
“Malah, dia teruja dan menyatakan hasrat untuk datang kembali ke pulau kerana mendakwa tidak puas,” katanya.
Ibu mangsa, Zawiah Abd Kadir, 63, berkata kali terakhir dia bertemu anak, menantu dan cucunya ketika pulang bercuti di rumahnya di Kampung Gong Bayor, Besut sebelum ke Pulau Perhentian.
Katanya, sebelum terbabit kemalangan, arwah anak sempat menghantar gambar dia bersama isteri dan dua anak berehat di kawasan pantai menerusi Aplikasi WhatsApp ketika dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu.
“Saya tak tahu pantai di kawasan mana. Saya tahu anak ke Kuantan untuk merawat penyakit gout dihidapinya.”Mereka pergi ke Kuantan pada Jumaat lalu dan bermalam di Kuantan sebelum pulang selepas selesai rawatan.
“Tidak berapa lama kemudian, kami dikejutkan pula dengan Aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada adik arwah memberitahu Riduan bersama isteri meninggal dunia terbabit kemalangan manakala dua anaknya parah dibawa ke Hospital Kuantan (Hospital Tengku Ampuan Afzan).
“Saya terduduk dan lemah seluruh tubuhsebelum bertolak ke rumah bisan selepas Asar dan tiba jam 11 malam tadi sebelum ke Hospital Kemaman.
“Ketika menunggu bedah siasat di hospital pagi tadi kami dikejutkan dengan berita kematian cucu perempuan berusia tiga tahun,” katanya.
Zawiah berkata, kehilangan tiga beranak secara serentak meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarga, namun dia sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa anak, menantu dan cucunya.