SHAH ALAM: Pasangan kembar Naila Syafiqa Samsudin, 24, dan Naila Syahida Samsudin, 24, yang berasal dari Sarawak mengecap kenangan manis apabila menerima Anugerah Naib Canselor serentak pada Sidang ke-19 di Istiadat Konvokesyen ke-98 Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Mereka adalah sebahagian daripada 941 graduan Kolej Pengajian Seni Kreatif yang menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.
Pasangan kembar ini merupakan anak bongsu daripada enam beradik.
Mereka bertuah dan bersyukur, tidak hanya berkongsi ikatan darah tetapi juga pengalaman pendidikan secara bersama kerana belajar di dalam kelas yang sama sejak dari peringkat STPM dan masih kekal bersama walaupun telah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda.
Bagi Naila Syafiqa dan Naila Syahida ia adalah satu kelebihan kerana perkara itu memudahkan mereka untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan bersama.
Mereka berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) dengan CGPA masing-masing 3.74 dan 3.77.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 bermula 18 November lalu dan akan melabuhkan tirai pada 14 Disember ini.