comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan kekasih ditahan miliki lebih 6kg dadah

Sammy (Dua dari kiri) menunjukkan gambar rampasan dadah dan tiga suspek dalam sidang media di IPD Penampang. – FOTO: NSTP

PENAMPANG: Sepasang kekasih antara tiga individu ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan, pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat diterima, suspek pertama berjaya ditahan pada jam 1.30 petang di Kampung Nambazan, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan, suspek yang memandu Perodua Bezza seorang diri didapati membawa satu ketulan hablur disyaki syabu seberat 38.22 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 24.36 gram.

“Hasil soalsiasat, suspek berusia 31 tahun itu mengaku bertindak sebagai pengedar dadah dan menjadi ‘penjaga’ bahan larangan berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Eric.

“Suspek turut mendedahkan semua dadah berkenaan disimpan di sebuah kondominium mewah di Jalan Damai, Luyang,” katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Sammy berkata, berdasarkan maklumat suspek, polis menyerbu kediaman berkenaan dan menahan dua individu termasuk seorang wanita berusia 31 dan 33 tahun.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui satu plastik hitam berisi lapan bungkusan lutsinar yang disembunyikan di dalam almari pakaian.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah 6,431.19 gram. Semua rampasan dan tangkapan terus dibawa balik ke IPD Penampang,” katanya.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Nissan Fairlady untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini