Tumpuan :
Nasional

Pasangan kekasih ditahan berkhalwat

Pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) menahan pasangan berkhalwat di sebuah rumah di Kampung Pondok Labu Keladi, awal pagi hari ini. FOTO: PADK

KULIM: Seorang lelaki ditemui bersembunyi di balik langsir tingkap rumah teman wanitanya dalam ketakutan ketika dicekup berkhalwat di sebuah rumah di Kampung Pondok Labu Keladi, di sini hari ini.

Lelaki berstatus suami orang berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) bersama imam masjid kariah berkenaan pada jam 1.20 pagi hari ini.

Pasangan itu mendakwa baru setahun berkenalan di media sosial dan lelaki itu sudah beberapa kali datang bermalam di rumah wanita berusia 37 tahun itu selepas ibu bapanya berpindah ke Jitra.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, sejurus menerima aduan berhubung berlakunya kegiatan maksiat di rumah itu, pihaknya melakukan pemeriksaan dan mendapati rumah terbabit dalam keadaan berkunci dari dalam.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu, seorang wanita yang hanya bertuala membukanya dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di rumahnya itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui lelaki terbabit di balik langsir tingkap rumah berkenaan dengan hanya memakai seluar tanpa baju.

“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka adalah pasangan hubungan suami isteri atau mahram.

“Lelaki yang berasal dari Sabah itu sudah berkahwin dan mendakwa isterinya lari mengikut lelaki lain manakala wanita itu pula masih bujang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya lagi, lelaki itu memberi alasan selalu menghantar wanita itu pulang kerja dan mengambil peluang untuk bermalam di situ disebabkan tiada sesiapa di rumah berkenaan.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini