comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasangan kekasih berdua-duaan ditahan langgar kereta peronda polis

Keadaan kereta peronda polis yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda pasangan kekasih di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. – FOTO: IPD Alor Gajah

ALOR GAJAH: Satu pasangan dipercayai kekasih nekad melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan pacuan empat roda dan merempuh kereta peronda Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Daerah Alor Gajah di Jalan Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 9.45 malam ketika dua anggota berpangkat koperal yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu berhenti untuk memeriksa kenderaan jenis Ford Ranger terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, memaklumkan anggota BPJKK terbabit memberhentikan kereta peronda di belakang kenderaan terbabit yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang sunyi serta gelap.

“Anggota peronda memberhentikan kenderaan di belakang kenderaan Ford Ranger itu dengan menyalakan lampu becon light.

“Namun pemandunya enggan memberikan kerjasama, lalu cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kenderaan pasukan polis.

“Suspek lelaki berusia 44 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan bersama seorang wanita berusia 25 tahun di dalam kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kenderaan polis mengalami kerosakan pintu hadapan sebelah kiri penumpang kemek serta pecah cermin tingkap dan pintu tidak boleh dibuka lagi.

Katanya, kedua-dua suspek yang berasal dari Masjid Tanah ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan mendapati, mereka tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya juga negatif.

“Kedua-duanya ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini