Oleh: Aslina Abu Bakar
SHAH ALAM: Lumpuh, cacat anggota badan, buta dan sawan, itu antara keadaan 11 daripada 63 kucing yang dirawat pasangan berhati mulia, Mohd Baharim Abu Bakar dan isterinya Nur Hanariawati Mohd Najib.
Meskipun kurang upaya namun kucing-kucing ini kelihatan sihat dan lincah memandangkan mereka mendapat penjagaan dan rawatan yang cukup rapi.
Tidak hairanlah pasangan ini sanggup berbelanja antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan untuk kos rawatan, pembedahan dan ubat ubatan demi melihat Kucing Kurang Upaya (KKU) ini kembali sihat.
Mohd Baharim dari Kota Kemuning, di sini, berkata, kecintaannya yang mendalam selain mahu mencari kepuasan dalam menguruskan haiwan berkenaan beliau sanggup berhenti kerja sejak tujuh tahun lalu.
“Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan masa dihabiskan untuk menguruskan kucing, namun ia bukan perkara mudah jadi kami memang sediakan jadual kepada mereka termasuk jadual makan, mandi termasuk jadual rawatan yang membabitkan KKU.
Malah, demi kelangsungan hidup dan menampung kos rawatan kucing yang tinggi saya juga menjalankan perkhidmatan ‘Grab Cat’ iaitu mengambil kucing dari rumah pelanggan selain menjaga kucing peliharaan atau ‘cat boarding’ di rumah pelanggan termasuk ‘cat consultant’ untuk membantu merawat emosi kucing,” kata bekas Eksekutif Pembangunan Perniagaan itu.
Sementara itu, isterinya Nur Hanariawati berkata, kebanyakan kucing yang dirawat mereka adalah kucing jalanan yang cedera parah akibat dilanggar kenderaan atau digigit anjing.
“Sebelum ni kami rawat kucing biasa sahaja tapi sejak dua tahun lalu, kami berjumpa dengan kucing yang cedera parah akibat dilanggar. Kesian melihat keadaannya yang tidak boleh berjalan, kami mengambil keputusan untuk merawatnya hingga sihat.
“Sejak berjaya merawat kucing jalanan daripada cedera parah sehingga boleh berjalan seperti kucing normal membuatkan saya dan suami tekad menyelamtkan lebih banyak lagi haiwan berkenaan,”katanya.
Meskipun banyak pengorbanan dilakukan terutama membabitkan kewangan dan masa namun mereka tetap sabar menjalaninya tanpa putus asa dan menganggap kucing peliharaan itu sebagai terapi kepada mereka ketika berada di rumah.