Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta parti komponen memberikan fokus kepada pengundi muda di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.
Katanya, kombinasi ahli UMNO, MCA dan MIC sahaja tidak mencukupi untuk memastikan BN terus dominan di negeri tersebut.
“Kekuatan BN tidak boleh diharapkan jika hanya ahli-ahli parti sahaja yang mengundi kita.
“Maksud saya jika ahli UMNO hanya mengundi calon UMNO, ahli MCA hanya mengundi calon MCA begitu juga MIC, tidak cukup.
“Kombinasi ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC sahaja pun tidak cukup untuk memenangkan calon-calon BN, kita wajib menyantuni seluruh rakyat dan pengundi di Negeri Sembilan terutamanya pengundi-pengundi muda untuk menentukan (dominasi BN di Negeri Sembilan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.
Katanya, BN perlu berbuat demikian sekiranya diberikan kepercayaan untuk untuk bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Untuk rekod, BN Berjaya memenangi 14 daripada 36 kerusi DUN negeri terbabit manakala Pakatan Harapan (PH) 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 5 kerusi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.