Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membongkar kaedah penyelewengan baharu, minyak masak paket oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang membelinya untuk dibuat biodiesel memandangkan harga bahan bersubsidi itu lebih murah daripada minyak masak yang dikitar semula.
“Tetapi apa yang berlaku oleh kerana ada ketirisan dahulu dia eksport. Kemudian kita tahan dapat atasi soal eksport. Kemudian kita jumpa pula di mana dia beli minyak paket, pemborong dapat minyak paket dia jual kepada syarikat mikro dengan harga yang tinggi daripada RM2.50 maka sasaran subsidi tidak berlaku. Akhir-akhir ini ada orang beli minyak paket untuk dibuat biodiesel kerana kalau dia beli minyak kitar semula harga lebih tinggi daripada minyak masak paket,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.
Maka beliau mencadangkan subsidi kepada golongan bersasar itu dibuat dengan kaedah pemindahan tunai.
Menjawab kepada pertanyaan itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata tindakan yang wajar dilakukan kerajaan adalah melaksanakan kaedah pembeliannya kepada golongan bersasar mulai tahun hadapan.
“Tentu sekali minyak masak dalam paket di dalam senarai penyasaran subsidi tersebut. Kita tidak akan teruskan perkara yang sama memang kerajaan hari ini amat gusar dengan apa yang dikatakan dikongsikan oleh Yang Berhomat Titiwangsa tadi. Jadi sebagai apa yang disarankan kita lihat bahawa kementerian melihat yang wajar menerima subsidi ini golongan B40 dan sebahagian daripada M40. Sebab M40 pun memerlukannya sebahagian mereka bukan semuanya,” jelasnya.
Dimaklumkan ketika ini kuota pengeluaran minyak masak paket bersubsidi adalah berjumlah 60 ribu metrik tan sebulan.
Jumlah sebenar pengeluaran minyak masak paket bersubsidi bergantung kepada prestasi 361 syarikat pembungkus di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Difahamkan prestasi pengeluaran tahun ini adalah pada tahap maksimum setiap bulan.
Tambah Fuziah, secara amnya, pengeluaran subsidi pukal ini mencukupi untuk kegunaan anggaran 5.8 juta isi rumah, dari kumpulan B40 termasuk sebahagian M40.
Untuk meningkatkan kecekapan pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi, KPDN telah memperkenalkan Sistem eCOSS pada 1 Ogos 2022 untuk memantau rekod transaksi jualan minyak masak paket secara digital dari kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.