Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Bantuan kepakaran yang dijanjikan Belanda untuk menambah baik sistem tebatan banjir di Malaysia masih tergantung.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketidaktentuan itu berikutan kemenangan besar ahli politik kanan Geert Wilders dalam pilihanraya negara itu baru-baru ini, yang disifatkan sebagai anti-Islam.
Wilders ialah seorang ahli politik veteran Belanda yang mengetuai kumpulan pelampau kanan, Parti Kebebasan (Partij voor de Vrijheid atau PVV).
Menjelaskan situasi itu di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar berkata perkembangan politik di Belanda ketika ini tidak begitu menggalakkan.
Justeru kerajaan tidak pasti sama ada rancangan negara ini untuk mendapatkan bantuan pakar Belanda bagi mengatasi banjir saban tahunan akan menjadi kenyataan atau tidak.
“Malangnya. Malang tidak malang, saya tidak tahu, sebab ada perubahan kerajaan dan kelompok yang menang itu kelompok ekstrem kanan yang sangat anti-Islam serta minoriti di Netherlands. Jadi saya tidak tahu sama ada hal ni akan diteruskan,” katanya.
Bagaimanapun kata Datuk Seri Anwar kerajaan akan menghubungi Wilders untuk mendapatkan kata putus sama ada pihaknya masih komited untuk meneruskan program kerjasama itu.