
KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Titah Diraja hari kedua di Dewan Rakyat hari ini gamat apabila seorang wakil pembangkang mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) ketika mendedahkan perkara itu, mendakwa ugutan itu diterima ketika dihubungi beberapa pihak yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.
Rentetan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mendakwa akur untuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak terbabit, antaranya di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, pada 17 Januari lalu.
Beliau juga mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan menyatakan sokongan kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan, antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta.
Kenyataan Wan Saiful itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoalkan kenyataan Wan Saiful yang didakwa sebagai bersangka jahat.
SN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan Peraturan 36(6) merujuk kenyataan Tasek Gelugor yang mengatakan ada habuan jika menyokong Perdana Menteri sebagai ada sangkaan jahat, sambil mencabar Wan Saiful membuat laporan jika ia benar.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian memutuskan bersetuju dengan apa dibangkitkan Rayer, dengan alasan ia sangkaan tidak baik.
“Kita tidak tahu individu ini wujud atau tidak…saya ingat ‘naration’ itu berhenti di situ,” katanya.
Berita lanjut menyusul
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.