KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Lembah Klang hari ini terpaksa menyambut hari raya dalam cuaca yang tidak sihat apabila beberapa buah daerah dikesan merekodkan tahap udara yang tidak sihat.
Sehingga 10 pagi hari ini udara tidak sihat terus berlarutan di Klang, Banting dan Cheras tanpa peningkatan ketara sejak semalam.
Sejumlah besar tahap udara di seluruh negara khususnya di Semenanjung Malaysia juga mencatat di paras sederhana.
Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan udara tidak sihat masing-masing 153, 159 dan 155 bagi Klang, Banting dan Cheras.
Paras udara di Klang menunjukkan bacaan tidak sihat meningkat daripada bacaan IPU 142 pada 10 pagi semalam kepada 153 setakat hari ini.
Di Banting pula, bacaan IPU ialah 163 pada 10 pagi semalam tetapi ia menurun sedikit kepada 159, hari ini.
Di Cheras, bacaan IPU 101 pada 7 malam semalam dan beransur-ansur meningkat kepada 155 pada 9 pagi hari ini.
Selain itu, data juga menunjukkan sejumlah 45 kawasan berada di bawah paras kualiti udara sederhana iaitu bacaan IPU antara 51 dan 100, manakala 20 kawasan berada di bawah paras baik iaitu dari 0 hingga 50.
Antaranya Petaling Jaya, Johan Setia, Shah Alam, Seremban, Rompin, Pulau Pinang dan Alor Setar.
Bacaan IPU antara 201 dan 300 adalah sangat tidak sihat manakala 300 dan ke atas adalah berbahaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.