KANGAR: Takungan air Empangan Timah Tasoh Perlis, dijangka dapat bertahan tiga bulan lagi, berikutan negeri itu dilanda cuaca panas akibat Fenomena El Nino.
Exco Perlis, Aizizam Ibrahim berkata, namun takungan air masih berada dalam keadaan baik dan pihaknya belum lagi merancang melaksanakan catuan bekalan air mahupun pembenihan awan di kawasan empangan.
Jelasnya, sehingga hari ini, bacaan paras air empangan ialah 28.57 meter atau 25.5 juta liter padu dengan baki keseluruhan takungan air sekitar 84 peratus.
Paras itu menunjukkan penurunan daripada paras normalnya iaitu 29.1 meter.
Berdasarkan pemerhatian setiap hari, purata penurunan air di Empangan Timah Tasoh adalah sekitar 0.02 meter.
Tambahnya buat masa ini bekalan air yang terdapat di empangan berkenaan masih terus disalurkan untuk kegunaan domestik serta pengairan sawah.
Beliau berkata, jika tiada hujan dalam masa terdekat serta pengairan air tetap dilakukan bagi sektor domestik dan pertanian maka tidak mustahil bekalan air sedia ada akan terus menurun hingga paras bahaya iaitu sekitar 25.3 meter.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.